Halaman

Khamis, 30 Jun 2011

Sukarnya Memahami Karenah Manusia

Kisah Luqman Dan Telatah Manusia



بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata,

'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu.

Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula,

"Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya.

Kemudian orang ramai pula berkata lagi,

"Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,

"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dinaikinya."

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,

"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,

"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

p/s: Susah bagi kita untuk memuaskan hati semua orang, sehingga ada saja kata-kata yang kurang enak didengari..tetapi insyaAllah dengan keikhlasan hati hanya kerana Allah, kita dapat menjadi insan yang kuat untuk menghadapi cabaran...Allah Maha Mengetahui...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..